Monday, August 30, 2010

Salam Lailatul Qadr. . . .



Ramadhan,

Bulan penuh pengampunan dan keberkatan,

Bulan tersembunyi 1001 rahsia Tuhan,

Kini tiba di akhir bulan,

Lailatul Qadr malam yang dinantikan,

Malam lebih baik dari 1000 bulan,

Tiap muslim mendambakan beroleh kesempatan,

Melayari malam penuh kurniaan,

Moga amalan kita Allah kabulkan..

Sama-samalah kita menggandakan amalan di puncak bulan yang mula ini. Semoga malam al-Qadr yang dinanti-nantikankan akan menjadi milik kita semua..
Ucapan tulus ikhlas daripada barisan Perwakilan Integriti Rasyidul Huffaz. =)

puisi nukilan : Qiemuna,Darul Quran Jakim.

Saturday, August 21, 2010

DUNIA REMAJA ISLAM

Wahai remaja Islam
Dunia melihat
Penuh harapan
Pikul satu kilauan
Membuka selendang hitam
Masa diberi sudah matang
Tiada lagi tambahan
Sekarang tindakan
Bukan buaian

Wahai remaja Islam
Lembaran hitam kian pudar
Jiwa semakin sedar
Membina peribadi segar
Dalam realiti yang sangat sukar
Namun terus menggegar
Biar jasad dilanggar
Jiwa tetap tegar
Membina sebuah empayar

Wahai remaja Islam
Islam itu mudah
Hati terasa gundah
Maksiat tiada diendah
Terasa sangat indah
Lahir bermacam masalah
Tiada ibadah
Tiada akidah
Tiada mahmudah
Tapi jiwa ingin khalifah
Sungguh hebat hebah
Kini semua jadi susah
Kerana ditinggal akan surah
Tiada diguna sunnah
Dibiar qias dan ijmak Alma


ahmad fahmi b mokhtar

Saturday, August 7, 2010

Tiga Perkara Yang Sukar Diucapkan.



Generasi sahabat adalah produk terbaik tarbiyah Muhammad shallallahu alaihi wasallam. Sahabat adalah sebahagian daripada generasi salafussoleh dan mereka adalah generasi kurun terbaik manusia sebagaimana yang direkodkan di dalam hadis. Daripada Abdullah ibn Mas’ud radhiyallahu anhu: Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda: Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya. (Hadis riway
at al-bukhari dan muslim)


Muhammad shallallahu alaihi wasallam pula adalah manusia yang terbaik sebagaimana yang direkodkan di dalam Al-Quran. Allah subhanallah wa taala berfirman: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat (Surah Al-Ahzab ayat 21).

Antara Ucapan yang Sukar Diucap

Pada zaman kini, ada sebahagian manusia sukar untuk menyebut ucapan seperti “aku maafkan kesalahan engkau”, “saya menarik balik kata-kata saya yang tiada asas” dan “assalamu’alaikum saudara”. Mereka yang sukar menyebut ucapan seperti ini berkemungkinan tidak memahami sunnah Rasullah shallallahu alaihi wasallam dan para salafussoleh. Jika dilihat kepada generasi salafussoleh, perkataan-perkataan tersebut sebenarnya memberikan kebaikan, penghormatan dan pengajaran kepada para salafussoleh dalam erti mengamalkan sunnah di dalam kehidupan.

1) “Aku Maafkan Kesalahan Engkau”

Memaafkan kesalahan saudara seagama adalah wajar kerana tidak perlu kita merasa dendam terhadap saudara seagama kita. Pernah Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda: Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kamu, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 13). Ini menunjukkan untuk menjadi muslim yang beriman harus mencintai saudara seagamanya dengan meredakan persengketaan sesama saudara seagama. Jadi, mengapa harus berdendam dengan tidak memaafkan kesalahannya setelah dia meminta maaf? Sesungguhnya Allah memuliakan orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang lain.

Allah subhanallah wa taala berfirman: Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya) (Surah Al-Syura ayat 43). Bukan susah untuk mengucapkan “aku maafkan engkau” akan tetapi jika jiwa diselubungi hasad oleh sebab itu susah untuk menyebutnya. Oleh sebab itu, kita disuruh memaafkan kesalahan orang lain kerana itulah akhlak yang dipuji oleh Allah.
Allah subhanallah wa taala berfirman: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (An-Nur ayat 22).

2) “Saya Menarik Balik Kata-Kata Saya Yang Tiada Asas”

Jika dilihat pada zaman ini, betapa sedikitnya jumlah ulama pada masa kini untuk menarik balik kata-kata jika terdapat bukti bahawa kata-kata mereka itu jelas bercanggah dengan nas Al-Quran dan hadis. Kebanyakan daripada mereka begitu angkuh untuk menarik balik kata-kata kerana mereka lebih memikirkan kepada nama mereka akan tercalar dan tercabar dan mungkin reputasi mereka seba gai tokoh agama akan jatuh.

Sebaliknya, jika mereka menarik balik kata-kata mereka bukanlah ianya menjatuhkan reputasi mereka malah mengangkat tinggi reputasi mereka
di atas tindakan tersebut. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh para imam mazhab. Mereka menarik kata-kata mereka yang bercanggah dengan nas tetapi apabila zaman berlalu nama mereka diagungkan kerana sumbangan besar mereka kepada ummah. Oleh itu, usah risau dan gundah gelana terhadap reputasi diri tetapi risaulah apabila mempermainkan nas Al-Quran dan hadis.

Lihatlah apa prinsip yang dipegang oleh Muhammad Idris Al-Syafie yang meninggal pada tahun 204 Hijrah. Imam Syafie tidak akan menegakkan benang yang basah sekiranya ada pendapatnya yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadis. Tidak hairanlah kenapa Imam Syafie berbuat demikian kerana kesanggupannya menegakkan kebenaran daripada menegakkan kebatilan.

Kata al-Imam al-Syafie (w.204H): Jika kamu dapati apa yang ada di dalam kitabku menyanggahi sunnah Rasulullah shallallahu alaihi wasallam, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubalak jil: 10, ms: 34).

3) “Assalamu’alaikum saudara”

Amalan menyebarkan salam ini adalah sunnah dan merupakan sunnah yang disukai oleh Nabi shallallahu alaihi wasallam. Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bahwasanya ada seseorang yang bertanya pada Nabi shallallahu alaihi wa sallam, “Amalan islam apa yang paling baik?” Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas menjawab, “Memberi makan (kepada orang yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang tidak engkau kenali. ” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 6236)

Oleh demikian, amat mendukacitakan jika seorang muslim mengaku Islam tetapi tidak mahu menyebarkan salam kepada saudaranya sendiri. Dan tidak mustahil berlaku suatu masa dan perkara ini telah pun berlaku di mana seorang muslim ini hanya menyebarkan salam hanya kepada yang dia kenali sahaja dan tidak memberi salam kepada orang yang dia tidak kenali.

Di dalam Adab al-Mufrad, ada sebuah hadis dari Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa dia melewati seseorang, lalu orang tersebut mengucapkan, “Assalamu ‘alaika, wahai Abu ‘Abdir Rahman.” Kemudian Ibnu Mas’ud membalas salam tadi, lalu dia berkata, “Nanti akan datang suatu masa, pada masa tersebut seseorang hanya akan mengucapkan salam pada orang yang dia kenali saja.”

Kesimpulan

Justeru itu, sebagai umat Islam yang memahami akan sunnah Rasulullah shallallahu alaihi wasallam haruslah menunjukkan tauladan yang baik dengan mengikuti apa-apa amalan yang sunnah mengikut Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. Janganlah kita menjadi seperti manusia yang hanya mengikut hawa nafsunya sehingga sukar untuk menyebut perkataan yang sebenarnya mulia di sisi Allah subhanallah wa taala tetapi dianggap tidak oleh mereka.

Di dalam mendepani situasi sebegini, wajar kita bagi umat Islam mengikuti contoh dan tauladan yang diberikan oleh Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dan para salafussoleh. Kerana contoh tauladan yang diberikan adalah cukup baik untuk kita contohinya supaya kita tidak menjadi manusia yang angkuh, lalai dan alpa.

Lihatlah apa akan terjadi jika kita tidak memaafkan langsung saudara seagama kita, tidak menarik balik kata-kata yang bercanggah dengan nas dan tidak menyebarkan salam kepada saudara seagama kita. Maka, akan berlakulah perkara yang menyebabkan kucar-kacir dan perpecahan di dalam umat Islam sendiri. Cukuplah dengan apa yang terjadi sekarang dan jangan ditambah lagi dengan perpecahan lain yang tidak diingini.

Sesungguhnya Islam itu mendamaikan dan menjanjikan ikatan ukhuwah di antara muslim sesama muslim. Allah subhanallah wa taala berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat (Surah Al-Hujuraat ayat 10).

Firman Allah subhanallah wa taala lagi: Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim. Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan jangan berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah terhadapmu ketika kamu saling bermusuhan maka Dia satukan hati kamu lalu kamu menjadi saudara dengan nikmat-Nya, dan ingatlah ketika kamu berada di bibir jurang neraka lalu Dia selamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya agar kamu mendapat petunjuk (Surah Ali 'Imran ayat 102-103).

sumber : tajdid dakwah

Dia Suka Bercakap, Namun Pendengarnya Ramai Terlelap

SEORANG intelektual memang suka bercakap kerana dia ada ide atau sintesis ide baharu nan menarik yang pada tanggapan aqalnya berma’na amat. Dia ingin menyampaikan ide tersebut. Bagi dia, itu satu pengalaman rohani yang mengasyikkan sekalipun berlaku dalam alam pikirannya yang sebegitu personal. Lebih-lebih lagi di alam luar, yang interpersonal, ghairah sangat intelektual itu untuk menjelmakan ia (ide) di situ (alam luar) supaya orang lain turut mengalaminya dan bergembira bersama-sama. Juga satu ni’mat apabila berupaya membawa keluar ide itu, melalui penyampaian - dengan bercakap, menggunakan suara – selain mendapat kepuasan di jiwa, ia juga membuktikan dan mengesahkan kesebatian ide dengan diri atau pun mesra sekali sambutan aqal terhadap ide.

Lalu, ide disampaikan ke alam luar (yang interpersonal) nescaya berbahagia pula insan pendengar justru kedatangan ide atau ma’na itu disambut oleh aqal yang salim. Ternyata ini satu perkongsian ni’mat ma’nawi sesama manusia!

Berpijak di atas alasan yang sama (seperti dinyatakan di atas), seorang intelektual juga suka menulis, yang merupakan wasilah lain untuk menyampaikan.

Namun, pendengarnya ramai yang terlelap

Ziauddin Sardar pernah menyebut, bahawa menjadi seorang intelektual itu merupakan sesuatu yang sukar dan tidak mempunyai ramai penggemarnya (very lonely and tough business) kerana dalam kebanyakan masa ramai orang yang tertanya-tanya tentang apa-apa yang diucapkan oleh seorang intelektual lalu mereka tidak berminat, bosan, dan terus meninggalkan dia keseorangan.

Manusia pada hari ini sangat2 tidak meraikan kurnia aqal. Manusia pada hari ini trerlalu memanjakan aqal justru tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Tidak salah lah dan pada hari ini sememangnya semacam itu, iaitu bahawa sangat ramai manusia yang hambar dan hampa aqalnya selaku fakulti yang bertugas menanggap ma’na (ide). Ya, manusia zaman ini sama ada tidak meraikan atau pun salah guna kurnia besar aqal. Kedua-duannya mendatangkan akibat jijik kepada tamadun umat Islam khususnya, dan membawa malapetaka dan sejarah duka kepada manusia seluruhnya. Barmacam-macam sengketa, maksiat, dan kefasadan2 lain berlaku dalam kalangan makhluk beraqal. Haiwan2 turut terseksa sama tanpa terkecuali, pendek kata seluruh alam musyahadah ini ditimpa bencana oleh perbuatan manusia yang salah guna atau tidak meraikan kurnia aqal.

sumeber : kanta pembesar

Tuesday, June 8, 2010

PIMPINAN IRSYAD SESI 2010-2011


Segala pujian dan kesyukuran dipanjatkan kehadrat Rabbul jalil yang telah mengurniakan kita segala nikmat yang amat berharga untuk sekalian makhlukNya, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya. Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kerana masih diberikan nikmat yang paling besar iaitu nikmat iman dan islam.

Untuk pengetahuan semua warga IRSYAD, pada 20 Mei lepas, Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) telah mengadakan pemilihan baru bagi semua kerusi Majlis Tertinggi dan Perwakilan IRSYAD untuk sesi 2010-2011 bagi banin sahaja manakala MT dan perwakilan banat masih kekal. Pemilihan baru ini diadakan adalah diatas persetujuan PERKEMAT supaya membubarkan semula perwakilan IRSYAD kerana banyak kekosongan di kerusi MT berikutan perletakan jawatan oleh beberapa orang MT diatas sebab-sebab tertentu.

Pemilihan perwakilan berlangsung di Auditorium Syeikh Mohd Nor pada jam 3.30 petang yang mana dipengerusikan oleh Akh Irfan Bin Othman yang berperanan sebagai Ex-officio semester IRSYAD yang juga merangkap sebagai Bendahari Agong PERKEMAT.

Proses pemilihan berlangsung dengan lancar diatas kerjasama dan kesatuan ahli IRSYAD. Sebanyak 11 kerusi dipertandingkan iaitu 4 kerusi MT dan 7 kerusi perwakilan dan menampilkan wajah-wajah baru di dalam organisasi IRSYAD. Bagi kerusi Timb. Pengerusi dan Biro Perhubungan, penyandangnya masih lagi sama. ( rujuk carta organisasi di bawah)

PENGERUSI

AHMAD FAHMI BIN MOKHTAR

TIMB. PENGERUSI 1

MUHAMMAD NAJMI B MOHD AFANDI

TIMB. PENGERUSI 2

SITI NOR AZIZAH BT MOHD ALI

SETIAUSAHA

NAJMUDDIN RABBANI B MUSTAFFA

TIMB. SETIAUSAHA

MASTHURA BT SAHAMUDIN

BENDAHARI

MOHAMMAD AL-AZIIM BIN MOHD TAHIR

TIMB. BENDAHARI

ADILAH BT ZAWAWI

BIRO DAKWAH

MUHAMAD IRFAN BIN BADRUL

SA’ADAH BT ZAINAL

BIRO PENDIDIKAN

NIK MOHD MAHFUZ B NIK MOHD MANAN

NUR SYUHADA BT MOHD SUBRI

BIRO EKONOMI

MOHAMMAD MUSTAQIM B RAZALI

NOVA KASRIANTI BT KASMAN

BIRO PENERBITAN

ABDULLAH TAMLIKHA BIN MOHD JAMULUDIN

NURUL FAEEZ BT BAWAWI

BIRO PERHUBUNGAN

MOHAMMAD ZAKIY BIN MISBARI

NURHIDAYAH BT SHAARI

BIRO SUKAN

MUHAMMAD SYAFIQ B MOHD SARIFUDDIN

SITI NOR HAIYENNY BT ABD JALIL

BIRO KEBAJIKAN

MOHAMAD HAIRUL AFIFI BIN AB AZIZ

SHUKRIAH BT HJ SULONG

Kami di barisan perwakilan mengharapkan kerjasama daripada warga IRSYAD supaya dapat memberi kerjasama dan komitmen yang terbaik bagi mengukuhkan serta memberi nafas baru dalam gerak kerja dan juga kesatuan sesama kita. Wallahua’lam..

Wednesday, April 28, 2010

Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-31 Tahun 1431H/2010M

Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-31 telah berlangsung dengan jayanya selama 5 hari mulai 21 hingga 15 April 2010 bertempat di MITC, Ayer Keroh, Melaka Bandaraya Bersejarah. Bertemakan “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah”, majlis ini menyaksikan persaingan yang hebat di antara para hafiz dan hafizah dari seluruh Malaysia.



Majlis Perasmian Pembukaan telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka pada 21 April 2010. Turut hadir pada majlis pembukaan adalah Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah binti Ab. Rahman, YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Haji Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri, YB Senator Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.Bhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke–31 Tahun 1431H/2010M dan isteri serta dif-dif kehormat yang lain.



Para jemaah hakim, peserta-peserta dan urus setia negeri serta persekutuan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke–31 Tahun 1431H/2010M diraikan dalam satu majlis makan tengah hari bersama TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka di Hotel Equatorial, Melaka pada 22 April 2010.



Pada 24 April 2010, para jemaah hakim, peserta-peserta dan urus setia negeri serta persekutuan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-31 Tahun 1431H/2010M diraikan dalam satu majlis makan tengah hari bersama YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, Melaka.



Seramai 73 orang peserta seluruh negara menyertai majlis ini dengan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu hafazan dari 1-10 juzuk beserta tarannum, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk beserta tafsir. Pada tahun ini, satu kategori baru diperkenalkan iaitu hafazan dari 1-10 juzuk beserta tarannum. Walaupun ia merupakan kategori baru, namun para peserta dapat menyampaikan bacaan dengan cemerlang.



Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka. Turut hadir pada majlis itu Y.A.Bhg. Toh Puan Datuk Seri Utama Dato’ Zurina binti Kassim, YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Haji Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri, YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka dan isteri, YB Senator Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan suami serta dif-dif kehormat yang lain.

Keputusan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke–31 Tahun 1431H/2010M disampaikan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), merangkap Pengerusi Jemaah Hakim.

Pemenang-pemenang bagi ketiga-tiga kategori hafazan adalah seperti berikut :



1-10 JUZUK (LELAKI)

TEMPAT PERTAMA : Ahmad Tirmizi bin Hj Ali (Terengganu)

TEMPAT KEDUA : Muhammad Haikal bin Mohd Aris (Melaka) [semester AQRAB dq]

TEMPAT KETIGA : Muhammad Naazir bin Sheikh Alaudeen (Selangor)



1-10 JUZUK (PEREMPUAN)

TEMPAT PERTAMA : Farihah binti Zulkifli (Wilayah Persekutuan)

TEMPAT KEDUA : Siti Hajar Nabilah binti Mohd Darha (Selangor)

TEMPAT KETIGA : Zainab binti Sapiuddin (Sabah)[semester ITQAN dq]

1-20 JUZUK (LELAKI)

TEMPAT PERTAMA : Mohd Iqram bin Niyaz Ahmad (Kelantan)

TEMPAT KEDUA : Mohamad Fida’iy bin Zainal Abidin (Kedah)

TEMPAT KETIGA : Muhamad Khairul Razikin bin Abdul Razak (Sabah)

[semester ITQAN dq]



1-20 JUZUK (PEREMPUAN)

TEMPAT PERTAMA : Farah Nabilah binti Amindin (Selangor)

TEMPAT KEDUA : Khairunnisah binti Zaini (Johor)

TEMPAT KETIGA : Nur Amalina binti Azharuddin (Melaka)

1-30 JUZUK (LELAKI)

TEMPAT PERTAMA : Ahmad Mujahid bin Salleh Sani (Wilayah Persekutuan)

TEMPAT KEDUA : Muhammad Hariz Syazwan bin Mohd Arifin (Kelantan)

TEMPAT KETIGA : Mohd Labib bin Mohamad Anuar (Selangor)



1-30 JUZUK (PEREMPUAN)

TEMPAT PERTAMA : Siti Nadhira binti Mohd Shafie (Selangor)

TEMPAT KEDUA : Mazian binti Abu Bakar (Wilayah Persekutuan)

TEMPAT KETIGA : Siti Farhana binti Zainudin (Melaka)

*tahniah juga diucapkan kepada Siti Nor Azizah Binti Mohd Ali yang mewakili Negeri Terengganu Bagi Tahap pertama, secara tidak langsung mewakili IRSYAD, walaupun tidak merangkul juara, tetapi tahniah kerana mencuba!

Kepada Semua "Ilmuwan Muda", sila baca!

IMAMUNA AS-SYAFIE r.a. merupakan seorang ulamak ulung dunia Islam. Tersohor beliau dalam bidang agama dengan antara sumbangan terbesarnya dalam perkembangan ilmu-ilmu Islam ialah mempelopori disiplin ilmu Usul Fiqh (iaitu ilmu metodologi pengistinbatan hukum). Kitab beliau Ar-Risalah memperkenalkan usul fiqh dalam kerangka yang sistenatik sehingga layak diangkatnya sebagai salah satu disiplin ilmu penting dalam Islam.

Imam Syafie, ilmuwan yang saya yakin benar-benar asli dalam erti kata mengikut jalur keilmuan Islam (Islamic epistemology) yang sebenar. Ini boleh kita lihat pada pengiktirafan kelompok besar umat lebih-lebih lagi golongan ilmuan terhadap ‘kebesaran’ beliau. Malah, autoriti al-Imam dalam ilmu Usul membuktikan kedalaman dan kehebatannya dalam bidang pemikiran / falsafah.

Syair-syair as-Syafie yang sangat masyhur kerap kali mengungkapkan perihal ilmu (hakikat) dan penerima ilmu (pentafsir ilmu). Diwan as-Syafie, antara kitab syair beliau.

Syair yang mengandungi nasihat dan panduan menyangkut soal ilmu adalah tersangat penting buat barangsiapa yang mempunyai sikap ingin tahu yang kuat, kuat membaca, dan yang katanya telus mencari yang mana satu benar. Terlebih utamanya dan banyak mutakhir ini menjelma dalam kalangan pemuda - yang masih muda pemikirannya, boleh juga ditafsir sebagai kurang tahu persolan ‘ilmu’ sebagai satu subjek yang mulia dan tinggi martabatnya dalam islam.



kuat membaca?

Ulamak-ulamak terdahulu terutamanya di zaman keemasan islam (iaitu 'asr abbasiah) banyak membincangkan epistemologi (faham ilmu) dalam kitab-kitab terkenal mereka.

Ulamak hari ini, yang menyentuh secara mendalam soal penting ini digolongkan sebagai pemikir atau ahli falsafah, justeru itu lebih jauh dan tidak familiar dengan masyarakat awam. Kesannya, soal faham ilmu ini tidak berkembangbiak dalam kalangan kita sebagaimana ilmu-ilmu lain.

Kata Al-Attas, akar (punca utama) permasalahan umat Islam pada hari ini ialah kekeliruan dalam menanggap ilmu. Kesannya, kelahiran segolongan besar umat yang tidak beradab.

Golongan tak beradab itu memang benar-benar menjelma pada hari ini. Cukup banyak : iaitu - secara umum - orang-orang yang tidak matang dalam berhujah ( yang mengikut emosi), cepat prejudis, cepat mengikut hawa nafsu, terlalu skeptik dengan yang setentang, terlalu taksub dengan yang sebulu.

Lebih berat, golongan high-class yang terlalu yakin dengan pandangan (atau aliran) yang diikuti, walaupun sah berlawanan habis dengan aliran utama tradisi keilmuwan Islan yang didominasi oleh ulamak-ulamak muktabar. Sebagai contoh : golongan anti-hadith, syiah (terutamanya dalam aqidah), dan aliran liberal yang pelbagai cabang itu.

Rangkaian syair As-Syafie boleh dijadikan panduan berguna. Lebih pragmatis dengan zaman ini, mesti rujuk Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Saya tidak tahu ada manusia lain selain beliau di zaman ini yang membincangkan secara serius soal ini.

Kepada ulamak akhir zaman, termasuk ulamak politik,
Iintelektual yang dengarnya bijaksana,
Mufti, lantang atau tidak lantang,
Penceramah-penceramah jemputan,

dan yang diraikan,
‘para ilmuwan muda’ bersemangat berapi-api,

Sila fahami terlebih dahulu,

APA ITU ILMU secara mendalam dan halus,

sebelum keluar menemui masyarakat sebagai "ustaz", "mufti", "prof.", "dr." dan lain-lain panggilan hormat kepada orang 'berilmu'.

kanta.pembesar : "Ilmu itu bukan semudah mencari dalil dan maklumat dalam kitab/buku di perpustakaan, kedudukannya tersangat tinggi dan mulia menandakan kepayahan mencapainya"
Related Posts with thumbnails for bloggerblogger gadgets
 

Blogger news

manfaatkan kotak ini sebaiknya.. dilarang SPAMMING. dilarang untuk beremosi.. kata2 menunjukkan perilaku~ jikalau anda ingin menghantar komen secara peribadi, boleh isi diruangan komen, insyaAllah kami akan membacanya.

ShoutMix chat widget

About

Integriti Rasyidul Huffaz atau singkatannya IRSYAD merupakan sebuah badan perwakilan bagi pelajar-pelajar diploma Tahfiz Al-Quran sesi 2009-2012.
IRSYAD secara rasminya ditubuhkan pada 17Jun 2009 bersamaan 23 Jamadilakhir 1439H dalam mesyuarat diantara Majlis Tertinggi dengan barisan exco perwakilan. Dan Majlis pelancarannya telah berlangsung dengan jayanya pada 17 Julai 2009 bersamaan 24 rejab 1430H di Auditorium Sheikh Mohd Nor.