Puasa Asyura sering dibincangkan dari sudut fiqh, tetapi jarang dibicarakan maksud tersirat yang menyentuh akidah Islam.
Hadis ini menunjukkan konsep akidah Islam yang dikenali sebagai al-Wala dan al-Bara. Shaikh Bin Baz menyatakan al-Wala’ dan al-Bara’ bermaksud mencintai orang beriman dan setia kepada mereka, membenci orang kafir dan memusuhi mereka, berlepas diri daripada mereka dan agama mereka.
Satu cara melepaskan diri daripada orang kafir ialah mengelak meniru tingkah laku dan tatacara berpakaian yang menjadi identiti agama mereka.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Barang siapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Dr Nashir Abdul Karim Al-Aql menyatakan beberapa hikmah di sebalik larangan menyerupai bukan Islam kerana perbuatan orang kafir pada dasarnya dilakukan atas kesesatan, meniru orang kafir, maka seseorang Muslim akan menjadi pengikut mereka.
Allah memberi peringatan keras dalam firman bermaksud: “Dan barang siapa yang menentang Rasul sesudah jelas datang kepadanya petunjuk dan mengikuti jalannya orang yang tidak beriman, Kami biarkan dia dengan kesesatannya kemudian Kami seret ke dalam neraka Jahanam. Dan neraka Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah an-Nisa’, ayat 115)
Meniru orang kafir juga menimbulkan rasa kagum, cinta dan setia kepada mereka. Ini merendahkan martabat dan menyebabkan umat Islam dipandang hina.
Hal ini penting difahami setiap Muslim kerana kita melihat bagaimana generasi muda suka meniru gaya Barat dari segi berpakaian hingga ada kalanya tidak sensitif dengan lambang atau corak pada pakaian itu.
Konsep al-Wala dan al-Bara hendaklah ditekankan dalam pendidikan Islam di sekolah bagi melahirkan umat Islam yang mempunyai jati diri kukuh. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mendalami ajaran Islam.
Selagi kita gagal memerdekakan diri daripada meniru orang kafir, selagi itu kita dibelenggu penjajahan pemikiran. Selagi itulah umat Islam akan terus dihina.
dipetik dari : Berita Harian